BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, September 4, 2009

MARAH, BENCI & MAAF

Setiap manusia pasti mengalami perasaan marah dan benci terhadap seseorang. Sekali pandang, ia adalah lumrah manusia dan perkara yang terlalu remeh untuk dibincangkan. Setakat mana seseorang itu mampu mengawal perasaan marah dan benci kita itu tentunya mempunyai hubung kait dengan tahap imannya.

Marah dan benci pada ibu atau ayah, adik beradik, saudara mara, rakan, bekas kekasih, bekas tunang, bekas suami atau isteri, bos atau sebagainya hanya kerana apa yang dilakukan oleh mereka itu tidak menepati seperti apa yang kita kehendaki.
Perasaan marah dan benci ini jika tidak dapat dikawal dengan akal yang rasional dan iman yang mantap, ia akan membawa kepada perasaan dendam dan seterusnya boleh menyebabkan seseorang itu bertindak sehingga di luar batasan akal, kemampuan dan agama.


Senario sebegini seringkali kita saksikan berlaku diluar negara malah ada juga beberapa kes yang berlaku di dalam negara. Akibat terlalu marah, benci dan dendam pada sesuatu pihak, seseorang itu boleh bertindak ekstrem dan melulu. Antaranya melepaskan tembakan rambang di sekolah atau tadika, lari dari rumah, sisihkan malah cederakan ibubapa, keluarga atau saudara, mengambil dadah, minum arak (kononya untuk tenangkan fikiran) dan sebagainya. Tidak kurang juga ada yang sanggup membunuh diri sebagai tanda ‘protes’.

Tetapi cuba kita fikirkan, apa yang kita dapat jika kita terus menyimpan perasaan marah dan benci ini di dalam hati. Adakah ia akan membuatkan hati dan akal kita tenang, gembira atau bahagia? Adakah ia dapat menyelesaikan segala masalah yang kita hadapi? Atau semakin lama kita menyimpannya, semakin ‘sesak’ hati dan fikiran kita, semakin berserabut dan tidak tenteram jiwa kita.

Walaubagaimanapun, marah dan benci sebenarnya bukanlah bersifat mazmumah atau buruk semata-mata. Di dalam Islam, jika wajib mempunyai perasaan marah dan benci terhadap perbuatan maksiat. Dengan kata lain, marah dan benci perlu kena pada tempat dan situasinya. Islam juga telah mengajar kita bagaimana cara terbaik untuk menangani perasaan-perasaan mazmumah ini. Antaranya berwuduk, ubah kedudukan dan sebagainya.

Satu cara lagi yang diajarkan oleh Islam ialah dengan memberi maaf. Maaf. Cukup mudah untuk diungkapkan tapi sukar dipraktikkan. Samada memohon maaf, apatah lagi memberi maaf. Terutamanya jika kesalahan yang dilakukan terhadap kita itu benar-benar menyakitkan hati dan meninggalkan kesan yang mendalam.



Tetapi sebenarnya dengan memaafkan kesalahan orang lain dengan seikhlas hati ( bukan hanya maaf di mulut ) akan memberi kesan yang amat besar terhadap hati, jiwa dan kehidupan kita. Dengan memaafkan orang lain, hati jiwa akan menjadi lebih tenang dan jiwa lebih tenteram.

Berikut adalah tips yang boleh saya hulurkan untuk memudahkan kita memaafkan kesalahan orang lain:

1. Anggaplah dan ingatlah bahawa semua manusia itu tidak sempurna. Setiap manusia pasti melakukan kesalahan. Begitu jugalah dengan orang yang kita marah atau benci itu, dia juga insan biasa seperti kita. Oleh itu, walau sebesar mana kesalahannya terhadap kita, cubalah sedaya upaya untuk memaafkan dan melupakan kesalahannya itu.

2. Anggap kesalahan yang dilakukan itu sebagai suatu perkara yang kecil dan remeh yang tak perlu diambil berat atau serius.

3. Hanya ALLAH yang berhak menghukum dan membalas segala perbuatan manusia. Oleh itu, kita tak perlu terlalu fikirkan tentang kesalahan yang dilakukan terhadap kita itu. Serahkannya kepada ALLAH.

4. Ingatlah, ALLAH akan memberikan ganjaran istimewa kepada kita di akhirat nanti jika kita memaafkan kesalahan orang lain.



5. Fikirkan bahawa mungkin orang tersebut lakukan kesalahan terhadap kita itu secara tidak sengaja.

6. Anggaplah setiap perbuatan manusia terhadap kita adalah tarbiah dari ALLAH untuk kita, melalui orang tersebut. Oleh itu, kita tak perlu susah2 nak marahkan orang yang dah buat kita marah, sakit hati atau benci itu. Maafkanlah.

7. Jika orang yang kita marah itu adalah ibu ayah atau suami kita, maka ingatlah bahawa sebesar mana kesalahan mereka itu terhadap kita, kita wajib hormat mereka sebagai ibu ayah atau suami.

8. Orang yang selalu memaafkan kesalahan orang lain akan mempunyai hati yang tenang dan jiwa yang lapang.

9. Memaafkan kesalahan orang lain juga adalah special treatment untuk jadi awet muda dan wajah berseri. Ehek..

Semoga ALLAH kuatkan hati dan iman kita untuk menjadi seorang yang sabar dan mudah memaafkan kesalahan orang lain. Moga dengan memaafkan kesalahan orang lain akan memudahkan ALLAH mengampunkan kesalahan-kesalahan kita. Amin…

0 comments: